April 19, 2009

Rewang Otago


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada warga Malaysia di Dunedin termasuk di Oamaru, Mataura, Invercargill dan Roxburgh.

Kami dari Kelab UMNO Otago secara berbesar hati ingin menjemput saudara/ saudari memeriahkan program Rewang Otago yang akan berlangsung pada 25 April 2009, hari Sabtu bertempat di North East Valley Baptist Church.

Rewang Otago bertujuan untuk menyemai adat bergotong royong di kalangan rakyat Malaysia walaupun kita berjauhan denagn negara tercinta. Selain itu Rewang Otago juga diharap dapat menyediakan medium untuk rakyat Malaysia di Otago, Mataura, Oamaru, Invercargill dan Roxburgh  bersuai kenal disamping mengeratkan hubungan sedia ada.

Kehadiran saudara/saudari semoga dapat memeriahkan lagi Rewang Otago disamping merialisasikan matlamat sebenar program. Selain itu saudara/ saudari juga dapat menjamu selera dengan juadah yang cukup menyelerakan.

Datanglah seawal mungkin supaya kita dapat menyemarakkan semangat gotong royong dengan lebih kuat sesama kita.

Anda digalakkan membawa ‘potluck’ jika berkesempatan, semoga segala usaha kita akan diberkati Allah.

April 16, 2009

Laporan Mt Cargill Tramping

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Pada 22 Mac 2009 yang lalu, Kelab UMNO Otago telah menganjurkan satu program kembara yang dinamakan ‘Mt. Cargill Tramping 2009’ bertempat di Mt. Cargill, gunung tertinggi di Dunedin. Sambutan agak menggalakkan walaupun cuaca diramal hujan renyai-renyai. Seramai 21 orang peserta telah menyertai aktiviti ini.

Tujuan aktiviti ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan antara pelajar-pelajar junior yang baru tiba dari Malaysia dan pelajar-pelajar senior, disamping  membina ketahanan mental dan fizikal para perserta dalam menghadapi cabaran hidup pada masa akan datang.

Para peserta berkumpul di bangunan Clubs n Socs pada pukul 9.00 pagi untuk mendengar taklimat dan bertolak ke Bethunes Gully(kaki Mt. Cargill). Doa keselamatan dibacakan oleh saudara Sufian sebelum pendakian bermula. Tepat jam 10.00 pagi, para peserta mula bergerak melalui lorong pejalan kaki yang disediakan. Pada ketika ini hujan sudah berhenti dan keadaan suhu tidaklah begitu sejuk.

Perjalanan ke pucak gunung mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Para peserta melalui hutan pokok tirus pada awal perjalanan sebelum melalui hutan gunung. Pokok-pokok menjadi semakin rendah apabila semakin mnghampiri puncak gunung.

Para peserta tiba di puncak gunung pada jam 11.30 pagi. Suhu di puncak gunung sangat sejuk namun tiupan angin tidaklah begitu kuat. Kabus tebal yang melanda puncak gunung menghalang para peserta daripada melihat pemandangan dari puncak gunung.

Selepas berehat selama 15 minit dan menikmati kudapan yang dibawa sendiri, para peserta mula bergerak turun ke kaki gunung. Perjalanan itu  mengambil masa selama 30 minit. Setibanya mereka di kaki gunung, mereka telah disambut oleh beberapa orang senior yang membantu menyediakan BBQ sebagai makan tengah hari. Semua peserta mula bergerak pulang selepas selesai menjamu selera. 

Maklum balas positif yang diterima dari para peserta tentang aktiviti ini menyemarakkan lagi hasrat para penganjur untuk menganjurkan program-program seperti ini di masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Laporan Junior #2

LANGKAH BERMULA....... 


            Tanggal 16 februari, jam 5 ptg, 25 anak muda mula menjejakkan kaki di KLIA. Masing-masing bertemankan keluarga tercinta  Langkah anak-anak muda ini untuk mengejar cita-cita bermula setelah menaiki aerotrain menuju ke balai perlepasan Charlie, di lapang terbang yang gah itu. Pesawat yang dijangka berlepas jam 9.30 mlm terlewat sebentar sehingga pukul 10.15 mlm. Bagi sesetengah daripada mereka, ini merupakan pengalaman baru meninggalkan tanah air tercinta. Hidup di tempat orang tidak sama seperti di tempat sendiri. 

            Tanggal 17 februari, jam 12 tgh hari di bumi orang. Waktu di tanah air kira-kira jam 7 pagi, rakyat malaysia masih enak dibuai mimpi. Mereka tiba di lapangan terbang antarabangsa Auckland ”city of sail”. Kali pertama menjejakkan kaki di bumi orang memang membuatkan mereka teruja. Tangisan di KLIA dilupakan serta merta. Hanya kegembiraan dan kesyukuran tergambar dihati mereka setelah tiba dengan selamat. Setelah melepasi pemeriksaan kastam, anak-anak muda ini mula melangkah ke terminal domestik, kira-kira 12 minit berjalan kaki bersama troli masing-masing. Setibanya di Auckland masing-masing mengeluarkan baju sejuk kerana menjangkakan cuaca yang sejuk. Namun mereka tertipu kerana teriknya matahari disana mambuatkan mereka kepanasan.  

            Tertib pemandu-pemandu di sana yang sangat berbudi bicara menjadi tajuk bualan. Terbukti apabila setiap kali mereka menjejakkan kaki di atas ”zebra crossing” pemandu-pemandu kereta ini akan berhenti membenarkan mereka melintas terlebih dahulu. Terdetik dihati mereka mengharapkan pemandu kenderaan di Malaysia dapat bersikap sedemikian rupa.           

            Ketika di terminal domestik, masalah yang tidak dijangka timbul, sesetengah bagasi mereka terlalu besar untuk dimuatkan ke dalam kabin, sesetengah tiket penerbangan pula menghadapi masalah. Namun kesemua masalah tersebut tidak berpanjangan dan bejaya diselesaikan serta merta. Kira- kira jam 5 ptg penerbangan mereka ke Dunedin disambung semula. Sebelum tiba di Dunedin mereka transit sebentar kira-kira 30 minit di Wellington. Cuaca di lapangan terbang yang bersebelahan dengan pantai itu kelihatan baik sekali. 

            Pemandangan Dunedin yang hijau dari pesawat membuatkan kami terpesona. Tompok-tompok putih kambing biri- biri seperti yang mereka gambarkan selama ini terbukti di depan mata. Setelah menjejakkan kaki di Dunedin mereka disambut mesra oleh pelajar pelajar senior dan Puan Siti dan Dr. Brunton. Perasaan gementar, asing dibumi orang hilang serta merta. Kali ini mereka tidak tertipu seperti di Auckland lagi. Baju sejuk sememangnya menjadi kaperluan penting kerana cuaca di bumi Dunedin ini memangnya sejuk seperti yang diwarwarkan. Terdetik rasa menyesal dihati sesetengah mereka kerana tidak membawa baju sejuk yang mencukupi. 

            Cita cita mereka untuk melanjutkan pelajaran di University of Otago ini tercapai sudah. Syukur rasa  terdetik dihati. Semoga segulung ijazah menjadi teman untuk mereka ketika kembali ke Malaysia nanti.

Azrin & Syahril

Laporan Junior #1

PENGALAMANKUUUU…..

16.02.2009

Perjalanan baru hidup ku bermula pada hari ini. Aku tiba di KLIA jam 5ptg ditemani kaum kerabat. Setelah selesai pendaftaran masuk bagasi, kami diminta berkumpul semula pada jam 7.30ptg untuk taklimat ringkas. Perasaan kami ketika itu bercampur baur antara sedih, bangga dan gembira…sedih kerana akan meninggalkan keluarga dan berjauhan dengan mereka untuk jangka masa yang lama namun gembira kerana akhirnya impian kami untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara menjadi kenyataan. Setelah selesai taklimat, kami diberi masa selama 10 minit untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga dan sahabat tercinta. Saat berdakapan bersama keluarga adalah saat yang tidak dapatku lupakan, terasa begitu payah untuk mengucapkan selamat tinggal,namun ku gagahkan jua demi meneruskan perjuangan dibumi asing. Perjalanan kami diiring oleh Cik Natasha,pegawai JPA yang bertugas.

Namun begitu, sebaik menaiki kapal terbang, perasaan sedih bertukar gembira. Kami begitu teruja, maklumlah ini adalah pengalaman pertama keluar negara. Kapal terbang MAS MH121 berlepas tepat jam 9.55mlm. Perjalanan kami mengambil masa selama 11jam.

17.2.2009

Kami tiba di lapangan terbang Auckland jam 12 tengah hari waktu tempatan. Itulah pertama kali aku menjejak kaki di bumi New Zealand. Cuacanya agak panas tetapi sungguh nyaman. Setibanya di lapangan terbang, kami disambut oleh kakak senior dan dibekalkan dengan sandwich sebagai alas perut. Cuaca ketika itu lebih kurang 24oC. Perjalanan kami masih jauh. Sementara menantikan waktu penerbangan iaitu pada jam 5 petang, aku asyik terkenangkan keluarga. Sungguh, aku amat merindui abah, mama, adik-adik dan sanak saudara. Wajah mereka terbayang-bayang diminda. Setelah menunaikan solat jamak Zohor dan Asar, kami dibawa oleh senior ke terminal domestik dimana kami perlu meneruskan perjalanan ke Dunedin.

Penerbangan ke Dunedin mengambil masa selama 3 jam disebabkan berlaku pendaratan kecemasan di Wellington. Kira-kira jam 8 malam, kami tiba di lapanagn terbang Dunedin dan disambut oleh Dr.Bruntun bersama beberapa orang senior. Mereka begitu ramah dan bermurah hati menyediakan bekalan makan malam. Kami dibawa ke tempat tinggal masing-masing. Aku bersama 12 lagi rakan dibawa ke Toroa House.

18.2.2009

Keesokan harinya kami bersarapan di rumah senior sebelum dibawa ke Internatinal Office, dimana kami perlu mendaftar. Cuaca agak sejuk kerana hujan. Kerinduan kepada keluarga terubat seketika dengan kerenah senior dan rakan-rakan. Namun jauh disudut hati, aku mengharapkan kehadiran keluarga disisi menemani saat ku memulakan hidup baru. Sepanjang hari, kami dibawa meninjau sekitar kawasan universiti dan sekitar bandar Otago, erk..atau lebih tepat, pekan Otago,huhu..

****

Beberapa hari aku disini, pelbagai pengalaman yang ku tempuh, aku mula menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan disini. Ini hanyalah permulaan kisah hidupku yang baru di bumi asing..ku sedar akan tanggungjawabku untuk membawa pulang segenggam ijazah..setakat ini sahaja kisahku…bersambung…haha


Disediakan oleh,

Aien & Ayin

April 5, 2009

Bicara Islam #1

Kolum Bicara Islam – Minggu 1

Hadith 1 – Apakah kita faham faham tentang Islam?

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه: قَالَ رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم:

النَّاسُ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِيْ الإِسْلاَمِ، إِذَا فَقِهُواْ

صحيح البخاري

"Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham"   Sahih Al-Bukhari


Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman. Sekiranya ‘jahil’, nilai itu akan

menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya dia Islam, nilai itu akan menyokong Islam.

Segalanya bergantung kepada kefahamannya.

Bahagian terakhir hadith ini, إذا فقهواmempunyai dua sebutan:

1. إذا فَقِهُوا : memahami ilmu Fiqh. (Contoh: Imam As-Syafie).

2.  إذا فَقُهُوا: memahami Islam. (Contoh: Sumayyah).

 

Ramai yang mungkin mengetahui hukum Fiqh tetapi bukan memahami Islam itu sendiri.

Sedangkan memahami Islam itu sendiri lebih penting sebelum mengetahui perkara-perkara lain termasuklah Ilmu Fiqh. Mari kita melihat kembali apa yang berlaku semasa tahun 60an, ramai pelajar-pelajar jurusan agama di Universiti Al-Azhar (ustazah-ustazah) yang banyak mengetahui soal hukum-hakam tetapi masih tidak memakai tudung menutup aurat. Mereka mengetahui hukum Fiqh tetapi masih tidak memahami Islam. Berbeza pula pada tahun 80an, ramai pelajar-pelajar lepasan UK yang pulang ke tanah air dengan keadaan bertudung menutup aurat (sebelumnya tidak). Mereka ini memahami Islam tetapi tidak menguasai ilmu Fiqh. Mereka yang memahami Islam akan mengamalkannya, sebaliknya yang tidak memahami akan meninggalkannya walaupun telah datang hujah dan pengetahuan. Jadilah seperti Sumayyah…

Kita memahami hukum Fiqh melalui kuliyah-kuliyah ‘Fardhu ‘Ain’. Tetapi bagaimana kita mahu memahami Islam itu sendiri? Didiklah jiwa kita melalui halaqah-halaqah dan tarbiyyah.

Kesimpulan: Memahami Islam itu adalah wajib kerana tanpanya Islam tidak dapat terlaksana dalam diri. Ramai umat Islam yang tak faham tentang Islam menjadikan mereka tak melaksanakan tanggungjawab meskipun mereka tahu haram dan halal. Perlulah kita muhasabah diri samada kita ini diantara mereka yang paham atau tidak Islam. 

Bahasa Arab #4

Kolum Bahasa Arab – Minggu 4

Minggu ini kita akan membicarakan bahasa Arab melalui sebuah Hadith

الدُعَاءُ مُخُّ العِبَادَةِ

Terjemahan : Doa itu adalah benda yang paling penting dalam ibadah

الدُعَاءُ – Doa itu

مُخُّ – otak

عِبَادَةِ – ibadah

مُخُّ العِبَادَةِ – otak kepada ibadah atau lebih sedap disebut benda yang paling penting dalam ibadah

Kesimpulan : Dalam setiap ibadah kita kenalah disertai dengan doa supaya Allah menerimanya dan mempermudahkan urusan kita.

Laporan WPI #1: Survival in Dunedin

Laporan WPI #1: Survival in Dunedin

Pada 29 Mac 2009, program petama Wadah Perkongsian Ilmu(WPI) telah berlangsung di Evison Lounge Clubs and Socs Building. WPI kali ini bertemakan “Survival in Dunedin”. Majlis bermula dari jam 11 pagi hinggalah ke jam 1 tengah hari. Lebih daripada 20 orang pelajat tahun pertama hadir pada majlis ini. Pelajar lama turut hadir memberikan sokongan dan bersama-sama berkongsi pendapat dan pengalaman. Program kali ini melibatkan 4 orang ahli panel kesemuanya yang terdiri daripada Faried, Praveene, Ameline dan Nurulain. Adila yang merupakan salah seorang tenaga penggerak WPI bertindak selaku pengerusi majlis.
Perbincangan dimulakan oleh Nurulain yang berkongsi pengalaman beliau tentang tips-tips untuk cemerlang dalam Health Science First Year. Beliau menerangkan tips penting bagi setiap subjek dan cara-cara pembelajaran efektif untuk subjek tersebut.
Slot kedua diteruskan oleh Praveene dengan kupasan tentang “How to survive during winter”. Beliau dengan penuh semangat telah memberikan informasi yang amat berguna seperti pakaian yang perlu dipakai ketika musim sejuk, kedai-kedai untuk membeli baju sejuk dan cara-cara untuk menjimatkan eletrik ketika musim sejuk bagi mereka yang “flatting”.
Selepas itu, ahli panel yang ketiga iaitu Ameline menerangkan tentang “Flat Hunting” dan cara-cara untuk mendapatkan tiket bagi mereka yang ingin pulang ke Malaysia pada cuti summer. Tips yang diberikan oleh Ameline amatlah berguna terutamanya cara-cara untuk mendapatkan flat yang bagus memandangkan kebanyakan daripada pelajar baru akan menyewa pada tahun depan.
Akhir sekali, ahli panel yang terakhir iaitu Mohd. Faried telah diberikan tugas untuk membincangkan tentang topik “Summer in Dunedin” di mana para pelajar boleh bekerja di lading buah ataupun bekerja di Dunedin. Beliau berkongsi dengan pelajar tentang pengalaman beliau bekerja di Fairview Orchard semasa cuti summer. 
Secara keseluruhannya, majlis berjalan dengan lancar dan semua pelajar baru dan lama berpuas hati dengan isi kandungan majlis pada kali ini. Walaubagaimanapun, WPI kali ini bermula lewat 15 minit kerana masalah teknikal. 

Syahril Ikhwan
Jawatankuasa Penggerak
Wadah Perkongsian Ilmu 

April 3, 2009

Kartun: PPSMI? Apa tu?

Laporan Pasukan Bola Tampar kita

Salam dan greetings!!

tanggal 1 april menyaksikan skuad bola tampar liga sosial kami menang besar 3 set berturut-turut ke atas Hayward Hall. skuad keris berantai yang dibarisi oleh kak dlyn, alisya, faizal, bukhari, munirmuji dan imran ternyata mantap dan berjaya mengawal gelanggang malam semalam.

terima kasih kepada fauzi ibrahim selaku kapten pasukan yang sedang berhempas pulas di wellington.penghijrahan beliau ke welllington tidak sekali-kali mematahkan semangat kental 'janggut' beliau untuk memantau prestasi skuad kami dari jauh.nama keris berantai juga adalah cetusan idea beliau ketika liga masjid tahun lepas yang menyaksikan kami berjaya menggondol gelaran juara.

set pertama menyaksikan persembahan bertenaga keris berantai dengan 'spike' bertenaga yang cukup kencang dan menggerunkan lawan dari faizal yang berambut 'spike'. halangan(block) dari faizal kesan 'spike' balas juga sedikit sebanyak melemahkan semangat lawan.

kak dlyn yang bertindak selaku pemberi arahan kelihatan sedikit blur pada malam tadi.walaubagaimanapun itu tidak sedikit pun mencacatkan mutu persembahan keris berantai.kecederaan jari telunjuk beliau ketika perlawanan pertama minggu lepas mungkin turut menjadi faktor penyebab kemurungan beliau.bak kata musab umayr 'macam jari orang mengandung'.

imran si kiwi laut juga tak kurang hebatnya.datang membawa bekalan air tajaan kelab umno otago melihatkan pemuda 'berbulu roma emas' ini beraksi tenang tanpa gangguan. konsisten menguyah gul-gula getah ketika permainan seolah-olah mendapat bekalan tenaga tambahan untuk melakukan 'fast ball spike'.mantap!!!

munirmuji seperti biasa menyuap bola kepada semua 'spiker' yang minta disuap.bukan 'makan suap' seperti isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ye,harap maklum. seperti semua ketahui,beliaulah yang paling bising menyuruh itu dan ini menjadi diktator keris berantai.

alisya, walaupun sebagai pemain jemputan skuad kami yang hanya mencukupkan korum 2 wanita dalam setiap pasukan uga mempamerkan persembahan yang baik. 'housemate' kak lyn ini terkenal dengan servisnye yang terkena net dan masuk ke gelanggang lawan.mereka terjerat!!!wahahaha

bukhari, merupakan pemain baru dalam arena bola tampar ini pada mulanya kelihatan gugup melihatkan tubuh sasa dan tegap pemain-pemain dari Hayward Hall.namun setela cukup 'panas' dia semakin serasi.tahniah kepada bukhari kerana cita-cita beliau untuk 'spike' ketika perlawanan malam tadi berjaya!!!walaubagaimanapun, bola itu telah berjaya dihadang oleh pemain lawan.

sekian berita melaporkan perkembangan skuad bola tampar keris berantai.untuk makluman skuad ini adalah skuad Otago yang akan bertanding ketika Bersatu Game ketika cuti musim sejuk nanti.

Diharapkan pihak penganjur Bersatu Games tahun ini dapat mempertimbangkan penukaran tarikh kejohanan lantaran kami di Otago yang rata-ratanya pelajar sains kesihatan (health science) telah memulakan sesi semester ke2 kami.

kalau tidak tiadalah kontijen berkualiti dari bandar Dunedin dapat beraksi. atau lebih parah, Otago tak hantar kontijen terus. dengar tu penganjur!!!

April 2, 2009

WPI #2: PPSMI



PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

·         SETUJUKAH ANDA?

·         APAKAH KEBAIKAN DI SEBALIKNYA?

·         BAGAIMANAKAH PULA DENGAN IMPLIKASINYA?

WADAH PERKONGSIAN ILMU: PPSMI dan Pandangan Anda mempersilakan anda untuk membuka minda, menyumbangkan suara dan menyalurkan idea.

TARIKH            : SUNDAY, 5th APRIL 2009

TEMPAT           : BURNS 2 LECTURE THEATRE

MASA             : 2.00 – 4.00 pm

PENCERAMAH:

          1. ENCIK AHMAD SABRY OTHMAN

Pensyarah Bahasa Inggeris Institut Perguruan Kota Bharu

Pelajar Ijazah Kedoktoran University of Otago, NZ  pengkhususan dalam Perlaksanaan PPSMI di Sekolah Rendah Malaysia

          2. PUAN NIK NORLAILI  

     Guru Bahasa Inggeris SMK Puteri, Kota Bharu