May 28, 2009

Laporan WPI 3: "Sharing with Graduates"

LAPORAN WADAH PERKONGSIAN ILMU 3 :  “SHARING WITH GRADUATES” 

      Wadah Perkongsian Ilmu yang ke-3 kali ini bertemakan “ Sharing With Graduates” . Butiran-butiran aktiviti adalah seperti berikut :

                        Tempat : Burns 2 Lecture Theatre

                        Masa : 6.00 – 7.30 malam

                        Tarikh : 23 Mei 2009 (Sabtu) 

      Empat orang panel yang dijemput terdiri daripada graduan-graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dan salah seorang daripada mereka merupakan pengasas PERSADA. Mereka adalah Siti Suria Wati Isa, Nurul Huda Zakaria (MBChB), Nur Farhana Mohamad (MBChB) dan Azalea Md Khairuddin (MBChB). Seramai lebih kurang 50 orang hadir di majlis ini termasuk ahli keluarga para panel.

      Perbincangan dibahagikan kepada dua slot. Dalam slot yang pertama, para panel berkongsi pengalaman suka duka sepanjang berada di Dunedin dan perasaan mereka setelah berjaya menamatkan pengajian. Antara cabaran utama yang dihadapi ialah penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti. Malah, mereka terpaksa membiasakan diri dengan loghat orang tempatan yang sedikit berbeza. Walau bagaimanapun, mereka berasa sangat bersyukur dan lega kerana usaha mereka selama lebih kurang enam tahun akhirnya berbaloi dengan kejayaan yang dimiliki.

      Soalan-soalan yang lebih serius diajukan kepada para panel dalam slot yang kedua. Isu-isu yang disentuh adalah seperti berkahwin semasa belajar, persatuan di Dunedin dan berkhidmat untuk negara. Bagi Kak Siti yang berkahwin ketika sedang mengambil diploma, beliau berpendapat hal ini bukanlah masalah yang besar jika seseorang itu dapat menguruskan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami dan pelajar. Manakala tiga panel yang lain yang masih lagi bujang , mereka berasa sukar untuk memberikan tumpuan di dalam pelajaran dan kehidupan berumah tangga sekaligus. Soalan tentang kepentingan penubuhan PERSADA diajukan khas kepada Kak Siti yang merupakan salah seorang pengasas PERSADA. Menurut beliau, objektif penubuhan PERSADA adalah untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar tajaan dan sebagai sebuah persatuan yang dapat menganjurkan aktiviti-aktiviti berunsurkan kerohanian. Menyentuh tentang isu yang terakhir, Azalea membuat keputusan untuk menimba pengalaman bekerja di New Zealand sebelum pulang untuk berkhidmat di Malaysia dengan lebih cemerlang. Berbeza dengan Nurul Huda yang sudah bekerja di Malaysia, pengalaman bekerja mungkin berbeza mengikut tempat tetapi bekerja di negara sendiri sama baiknya bekerja di negara orang.

      Selepas kedua-dua slot tamat, para panel dan hadirin dijemput ke Evision Lounge, Club and Socs untuk jamuan makan. Di sini, hadirin mengambil peluang untuk berkenalan dan bertanyakan soalan dengan lebih peribadi kepada para panel. Jamuan tamat pada pukul 8.30 malam.

No comments: