June 2, 2011

Apa itu jerayawara bahasa?

Selepas berewang Kelab UMNO Otago berjerayawara pula. Kali ini UMNO Otago telah berkolobrasi dengan Kelab OUPERSADA menganjurkan Minggu Jerayawara Bahasa pada 28 Mei 2011. Pasti ramai yang tertanya-tanya apa itu jerayawara bahasa. Jerayawara ialah persembahan, pameran, ceramah dan sebagainya yang diadakan oleh seseorang atau se­kum­pulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang ber­­kunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dan sebagainya; contoh: persatuan itu melaksanakan program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri jerayawara yg meliputi seminar dan pa­meran; sumber: Kamus Dewan edisi 4.

Justeru, Jerayawara Bahasa yang dianjurkan bertujuan untuk menyemarakkan dan mempromosikan keindahan bahasa kabangsaan Malaysia iaitu Bahasa Malayu/Bahasa Malaysia. Bertepatan dengan maksud yang dibawa, Minggu Jerayawara Bahasa 2011 membuka ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi di Dunedin mengekspresikan cetusan minda melalui bahasa. Dengan tema ‘titisan tinta cerminan kemanusiaan’ , penyertaan dibuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang berminat. Antara pertandingan yang diadakan adalah Bahas Bahasa Melayu ala Parlimen, Penulisan kreatif, Penulisan Pantun, Penghasilan Lagu Puisi serta Teka silang kata. Penyertaan amat menggalakkan dan sememangnya semua peserta amat berbakat dan kreatif (ramai yang ada bakat terpendam!). Tahniah diucapkan kepada pemenang setiap kategori yang dipertandingkan. Kepada yang kurang bernasib baik tahun ini, cuba lagi tahun depan. Sokongan serta kerjasama semua pihak yang menjayakan Minggu Jerayawara 2011 amat kami hargai.


Izdham menyampaikan hadiah kepada Zariq, pemenang kategori Lagu Puisi

Penghayatan yang mendalam dari Fadzrel

Pemenang tempat kedua kategori bahas ala parlimen


Anir menyampaikan lagu puisi bertajuk 'Jalan'

Rashidah, pemenang tempat kedua kategori Penulisan Kreatif

Antara yang hadir memberi sokongan



Untuk pengunjung blog UMNO Otago, hayatilah keindahan puisi ‘Subuh di al-Quds’ nukilan Mohd Zaini Mohd Dhazam yang telah dipilih juri sebagai pemenang kategori penulisan kreatif. Semoga terbangkit rasa kemanusiaan dan ihsan sesama membacanya =) 

Kabus pagi,
Dingin awal itu,
Kaca berembun dilap ala kadar,
Aku mencari mentari Ilahi,
Masih samar jauh di celah bukit.

Masih basah titisan wudu' subuh,
Ku belek helaian kertas lama,
Ku baca dengan mata hatiku,
Terbentang segala ilmu di kalam Allah itu.

Di kejauhan pelusuk sana,
Malamnya masih jauh,
Siangnya sudah lama pergi,
Kembalinya hari tidak menentu.

Aku terfikir,
Adakah siang kalau hidup penuh kegelapan,
Adakah malam kalau peledak terus bersinaran,
Minda hatiku terkelu.

Masih adakah subuh di Al Quds?
Di mana dicarinya wudu'?
Apanya kekhusyukan dengar mortar lalu?
Sucikah tanah darah membanjirkan?

Aku malu pada tanyaku,
Sedang sabil tanah disujudnya,
Sedang derita Allah disembahnya,
Dengan jihad suci syahidnya.

Sedangkan aku,
Masih kejauhan,
Mana tindakku?
Alang jatuh sudah melenting.
Kalau diukur imannya enteng.

Nukilan,
Pengukir Aksara















No comments: