April 16, 2009

Laporan Junior #2

LANGKAH BERMULA....... 


            Tanggal 16 februari, jam 5 ptg, 25 anak muda mula menjejakkan kaki di KLIA. Masing-masing bertemankan keluarga tercinta  Langkah anak-anak muda ini untuk mengejar cita-cita bermula setelah menaiki aerotrain menuju ke balai perlepasan Charlie, di lapang terbang yang gah itu. Pesawat yang dijangka berlepas jam 9.30 mlm terlewat sebentar sehingga pukul 10.15 mlm. Bagi sesetengah daripada mereka, ini merupakan pengalaman baru meninggalkan tanah air tercinta. Hidup di tempat orang tidak sama seperti di tempat sendiri. 

            Tanggal 17 februari, jam 12 tgh hari di bumi orang. Waktu di tanah air kira-kira jam 7 pagi, rakyat malaysia masih enak dibuai mimpi. Mereka tiba di lapangan terbang antarabangsa Auckland ”city of sail”. Kali pertama menjejakkan kaki di bumi orang memang membuatkan mereka teruja. Tangisan di KLIA dilupakan serta merta. Hanya kegembiraan dan kesyukuran tergambar dihati mereka setelah tiba dengan selamat. Setelah melepasi pemeriksaan kastam, anak-anak muda ini mula melangkah ke terminal domestik, kira-kira 12 minit berjalan kaki bersama troli masing-masing. Setibanya di Auckland masing-masing mengeluarkan baju sejuk kerana menjangkakan cuaca yang sejuk. Namun mereka tertipu kerana teriknya matahari disana mambuatkan mereka kepanasan.  

            Tertib pemandu-pemandu di sana yang sangat berbudi bicara menjadi tajuk bualan. Terbukti apabila setiap kali mereka menjejakkan kaki di atas ”zebra crossing” pemandu-pemandu kereta ini akan berhenti membenarkan mereka melintas terlebih dahulu. Terdetik dihati mereka mengharapkan pemandu kenderaan di Malaysia dapat bersikap sedemikian rupa.           

            Ketika di terminal domestik, masalah yang tidak dijangka timbul, sesetengah bagasi mereka terlalu besar untuk dimuatkan ke dalam kabin, sesetengah tiket penerbangan pula menghadapi masalah. Namun kesemua masalah tersebut tidak berpanjangan dan bejaya diselesaikan serta merta. Kira- kira jam 5 ptg penerbangan mereka ke Dunedin disambung semula. Sebelum tiba di Dunedin mereka transit sebentar kira-kira 30 minit di Wellington. Cuaca di lapangan terbang yang bersebelahan dengan pantai itu kelihatan baik sekali. 

            Pemandangan Dunedin yang hijau dari pesawat membuatkan kami terpesona. Tompok-tompok putih kambing biri- biri seperti yang mereka gambarkan selama ini terbukti di depan mata. Setelah menjejakkan kaki di Dunedin mereka disambut mesra oleh pelajar pelajar senior dan Puan Siti dan Dr. Brunton. Perasaan gementar, asing dibumi orang hilang serta merta. Kali ini mereka tidak tertipu seperti di Auckland lagi. Baju sejuk sememangnya menjadi kaperluan penting kerana cuaca di bumi Dunedin ini memangnya sejuk seperti yang diwarwarkan. Terdetik rasa menyesal dihati sesetengah mereka kerana tidak membawa baju sejuk yang mencukupi. 

            Cita cita mereka untuk melanjutkan pelajaran di University of Otago ini tercapai sudah. Syukur rasa  terdetik dihati. Semoga segulung ijazah menjadi teman untuk mereka ketika kembali ke Malaysia nanti.

Azrin & Syahril

No comments: