April 16, 2009

Laporan Mt Cargill Tramping

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Pada 22 Mac 2009 yang lalu, Kelab UMNO Otago telah menganjurkan satu program kembara yang dinamakan ‘Mt. Cargill Tramping 2009’ bertempat di Mt. Cargill, gunung tertinggi di Dunedin. Sambutan agak menggalakkan walaupun cuaca diramal hujan renyai-renyai. Seramai 21 orang peserta telah menyertai aktiviti ini.

Tujuan aktiviti ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan antara pelajar-pelajar junior yang baru tiba dari Malaysia dan pelajar-pelajar senior, disamping  membina ketahanan mental dan fizikal para perserta dalam menghadapi cabaran hidup pada masa akan datang.

Para peserta berkumpul di bangunan Clubs n Socs pada pukul 9.00 pagi untuk mendengar taklimat dan bertolak ke Bethunes Gully(kaki Mt. Cargill). Doa keselamatan dibacakan oleh saudara Sufian sebelum pendakian bermula. Tepat jam 10.00 pagi, para peserta mula bergerak melalui lorong pejalan kaki yang disediakan. Pada ketika ini hujan sudah berhenti dan keadaan suhu tidaklah begitu sejuk.

Perjalanan ke pucak gunung mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Para peserta melalui hutan pokok tirus pada awal perjalanan sebelum melalui hutan gunung. Pokok-pokok menjadi semakin rendah apabila semakin mnghampiri puncak gunung.

Para peserta tiba di puncak gunung pada jam 11.30 pagi. Suhu di puncak gunung sangat sejuk namun tiupan angin tidaklah begitu kuat. Kabus tebal yang melanda puncak gunung menghalang para peserta daripada melihat pemandangan dari puncak gunung.

Selepas berehat selama 15 minit dan menikmati kudapan yang dibawa sendiri, para peserta mula bergerak turun ke kaki gunung. Perjalanan itu  mengambil masa selama 30 minit. Setibanya mereka di kaki gunung, mereka telah disambut oleh beberapa orang senior yang membantu menyediakan BBQ sebagai makan tengah hari. Semua peserta mula bergerak pulang selepas selesai menjamu selera. 

Maklum balas positif yang diterima dari para peserta tentang aktiviti ini menyemarakkan lagi hasrat para penganjur untuk menganjurkan program-program seperti ini di masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

1 comment:

Anonymous said...

formatting cacat sikit sebab pc aku ada silap settings